Tuesday, November 23

IJAZAH UNTUK MAK

Sekarang.

Kedatangan aidiladha kali ini membawa seribu erti buat Mak Limah. Erti sebuah pengorbanan yang tiada sempadan. Betapa kasih dan sayangnya seorang insan yang bernama anak. Demi cinta yang mendalam kepada ibunya sehingga sanggup bersusah-payah, berpenat-lelah dan bergadai jiwa, semuanya semata-mata untuk kebahagiaan ibunya itu.

6 tahun lepas.

“Dah lama mak mengidam nak tengok anak-anak jadi doktor,” jelas Mak Limah kepada anak sulungnya, Akim. Mak Limah merupakan ibu tunggal beranak empat. Suaminya telah pergi menghadap Ilahi 5 tahun yang lalu. “Mak nak sangat anak mak jadi doktor. Anak jiran-jiran sebelah semuanya jadi doktor. Kalau boleh mak nak tengok kamu jadi doktor juga,” tambah Mak Limah lagi.  Akim hanya mampu mengangguk. Mulutnya terasa berat sekali untuk berkata-kata. Cepat-cepat dia menyembunyikan surat tawaran kedua yang baru diterima petang tadi. Surat tawaran yang sudah lama ditunggu-tunggu. Surat tawaran yang boleh merealisasikan impiannya sejak kecil. Namun begitu, surat tawaran yang pertama, melanjutkan pelajaran ke UK dalam jurusan perubatan sudah diterima sejak seminggu  lalu. Sejak itulah juga Mak Limah asyik mendesak Akim untuk terima tawaran itu. Berat hati Akim untuk menerima tawaran tersebut dan melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan kerana jauh di sudut hati Akim tersimpan sekeping cita-cita untuk menjadi seorang penulis dan mahu pergi lebih jauh lagi. Namun, dipendamnya dalam-dalam agar tiada seorang pun yang tahu. Biarlah dia seorang sahaja yang tahu.

2 tahun yang lepas.

Jam menunjukkkan 9 pagi. Cepat-cepat Akim bangun dari sejadahnya tempat dia solat subuh tadi. Sejak 2-3 minggu ini dia selalu tertidur. Mungkin terlalu penat dan mengantuk akibat berjaga malam. Di jadual tertulis kelas neurology tepat jam 9 pagi juga. “Alamak, dah lambat ni! Sempat ke nak ke kelas?” Bisik hati Akim. Kawan sebiliknya, Kamal masih nyenyak tidur. Kamal merupakan pelajar jurusan sains aktuari dan telah menjadi teman sebilik Akim sejak pertama kali Akim menjejak kaki ke bumi UK ini. “Mungkin Kamal takde kelas pagi ni. Biar je la dia tidur,”kata Akim apabila terpandang Kamal yang enak dibuai mimpi lagi. Tanpa berlengah-lengah, Akim mencapai kunci basikal dan menuju ke kelas.
Sesampainya di dewan kuliyah, kelibat pensyarah, Dr. Williams masih belum kelihatan. Akim bernasib baik kerana Dr. Williams lebih lewat daripadanya. Pantas dia mencari tempat duduk yang masih kosong. Kelihatan Tina, rakan rapatnya di kelas melambai-lambai ke arah Akim sambil menunjukkan kerusi yang masih kosong di sebelahnya. “Fuhh, nasib baik Dr Williams belum datang lagi!!”Kata Akim sambil menggosok-gosok dadanya. Akim melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan Tina. “Apasal lambat?” Tanya Tina. Akim hanya tersenyum lebar. Dia tahu Tina sudah pun dapat mengagak sebab kelewatannya. Walaupun sebelum ini belum pernah lagi terlewat, namun sejak kebelakangan ini Akim seolah-olah sudah terbiasa. Sebagai rakan baik Akim di kelas, Tina risau akan tabiat baru Akim yang selalu terlewat ke kelas. Sebelum ini Akim belum pernah lagi lewat sewaktu di tahun pertama dan kedua. Malah Akim selalunya lebih awal daripada Tina. “Saya rasa awak sakit la. Muka awak nampak pucat,”jelas Tina sambil membelek-belek muka Akim. “Ishh, mana ada saya sakit! Awak ni memandai je. Saya belum sarapan lagi . Sebab tu saya pucat. Lagipun malam-malam saya selalu tidur lewat. Sebab tu asyik lambat ke kelas. Apa la awak ni, haha!!” Kata Akim kepada Tina sambil tergelak. Mungkin disebabkan wajah Tina yang lucu apabila bermuka serius. “Ishhh, ada ke patut orang tengah serius ni dia gelak pulak. Memang awak ni sakit la,”kata Tina sambil menumbuk bahu kiri Akim. Keakraban dan keserasian mereka berdua sudah dapat dilihat sewaktu mula-mula berkenalan dulu lagi. Mungkin disebabkan bilangan pelajar Malaysia yang tidak ramai dalam kelas mereka menjadi punca mereka bersahabat baik sehingga sekarang. Kedua-dua mereka saling mengenali hati budi masing-masing. Selalu bertukar-tukar cerita dan mengadu masalah antara satu sama lain dan selalu belajar bersama-sama di perpustakaan apabila peperiksaan menjelang tiba.
  
Setahun lepas.

Kamal bangun awal pagi itu. Dia sepatutnya ada kelas pada pukul 8. Jam dinding menunjukkan pukul 7.45 pagi. Dia teringat akan pesan Akim supaya mengejutkannya kerana dia juga ada kelas pada jam 8 pagi. “Nyenyaknya tidur. Kesian pulak nak kejut. Tapi kena kejut jugak,” getus Kamal. “Akimm, bangun Akim. Cukup-cukup la tidur. Kau kan ada kelas pagi ni. Bangun cepat!!” Serkah Kamal dengan nada tinggi. Berkali-kali dia cuba kejutkan Akim pagi itu. Tetapi tiada respons. Kamal mula risau. Disentuhnya kepala Akim. Panas. Wajah Akim juga sangat pucat. Tanpa membuang masa terus dia menghubungi ambulans hospital universitinya.
Di hospital, setelah diberi rawatan Akim mula sedar. Doktor mengesahkan Akim mempunyai tekanan darah yang sangat rendah. “Tekanan darah kamu sangat rendah. Sebab itulah kamu tak sedarkan diri tadi. Tapi kami perlu menjalankan beberapa ujian lagi untuk memastikan kamu betul-betul takde masalah,” jelas doktor kepada Akim serta Kamal yang turut berada di situ. Akim memandang Kamal dan mula bersuara,”Kau pergilah ke kelas. Tak perlu temankan aku. Nanti terlepas pulak kelas. Rugi tu. Lepas kelas nanti kau datang la balik.” Kamal teragak-agak untuk meninggalkan teman sebiliknya itu. “Baiklah, aku pergi kelas dulu. Nanti petang sikit aku datang lagi. Okey!!” Pesan Kamal. Akim mengangguk sambil tersenyum. Dia tahu Kamal sangat mengambil berat tentangnya. Sudah pasti dia risau untuk meninggalkan Akim seorang diri di situ lagi-lagi bila Kamal juga mengetahui pasal penyakit yang dihidapi Akim. Setelah menjalani ujian MRI, ujian darah dan beberapa ujian lagi, doktor datang kepada Akim yang sedang bersiap-siap untuk pulang ke bilik. Selaku pelajar perubatan tahun akhir, Akim sudah dapat mengagak tujuan ujian-ujian tersebut dijalankan ke atasnya. Lagipun sudah beberapa kali Akim datang berjumpa dengan doktor yang sama, menjalani ujian-ujian yang sama sejak beberapa tahun berada di UK. Akim sebenarnya mempunyai sistem antibodi yang sangat lemah dan semakin lemah dari hari ke hari yang berpunca dari perubahan iklim. Sistem imun tubuhnya tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan itu. Ditambah lagi dengan sel tumor yang dikesan di otaknya. Apa yang dirisaukan ialah jika sistem pertahanan badannya tidak mampu lagi mengekang sel itu dan meletakkan nyawa Akim dalam bahaya. “Antibodi kamu makin lemah Akim. Kalau kamu pulang ke Malaysia sekarang  masih sempat lagi untuk pulih dan sel kanser di otak kamu boleh dirawat,” terang doktor itu bersungguh-sungguh. Akim seolah-olah sudah menduga akan jawapan daripada doktor. “Terima kasih atas nasihat itu. Tetapi seperti yang saya cakap sebelum ini, saya tak boleh balik lagi. Tidak sekarang,” tegas Akim. Doktor hanya mampu menghela nafas panjang. “Baiklah, saya faham. Saya tak boleh nak paksa awak. Tiap kali pun awak tetap dengan pendirian itu. Tapiiii……,” belum sempat doktor menghabiskan ayatnya, Akim mencelah, “Okeyla doktor. Terima kasih sebab merawat dan menasihati saya. Saya sangat menghargainya,” jelas Akim sambil tersenyum. Hasratnya hanyalah satu. Untuk merealisasikan impian ibunya. Membawa pulang segulung ijazah perubatan. Akim hanya mahu membalas balik jasa ibunya yang dianggap paling utama di dunia ini. Walaupun terpaksa membahayakan nyawanya sendiri, Akim tidak akan sesekali mengecewakan harapan ibunya itu. Dia sedar jika dia pulang sekarang, hasratnya itu tidak mungkin akan tercapai. Dia juga tidak mahu ibunya tahu pasal keadaan kesihatannya dan menjadi risau disebabkannya. Buat masa ini cukuplah dia seorang sahaja yang risau. Setahun sahaja lagi tinggal untuk dia menggengam ijazah dan pulang kepada ibunya yang menanti di kampung. “Semoga diriku dapat bertahan sehingga ke saat itu,”bisik hatinya. Kelihatan kelibat Kamal datang untuk membawa Akim pulang ke bilik. Dan bersama-samanya ialah Tina yang datang untuk mengetahui keadaan Akim. “Kenapa sakit tak beritahu saya?” Tanya Tina dengan muka yang risau. “Sakit biasa je. Tak perlu risau pun,” jawab Akim selamba. Seolah-olah tidak mahu Tina tahu keadaan kesihatannya yang membimbangkan itu. Tina memang sangat mengambil berat pasal Akim. Ketiadaan Akim di kelas pagi tadi menyebabkannya risau dan gelisah. Tina merupakan seorang yang baik tetapi agak pendiam. Tetapi apabila bersama Akim, Tina akan menjadi seorang yang aktif dan ceria. Tina tampak selesa ketika di samping Akim. Mungkin disebabkan perkenalan mereka yang sudahpun menjangkau lebih 3 tahun.

Sebulan yang lepas.

Akim hanya melepak sambil bersandar di beranda biliknya. Menikmati angin musim panas yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Hakikat tempoh pengajiannya yang sudah berakhir dan tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk pulang membawa balik ijazah kepada ibunya mengubat sedikit hati yang lara. Tina yang biasanya pulang ke Malaysia bersama-sama Akim telahpun berangkat balik semalam. Itulah yang menjadikan Akim sedih. Tina bakal melangsungkan pertunangan dengan pilihan bapanya. Juga seorang doktor. “Aku tahu kau sukakan dia. Kenapalah kau tak beritahu je. Tak elok kau asyik menipu diri sendiri. Kau juga yang merana nanti,” sapa Kamal yang baru sahaja siap mengemaskan barang-barangnya. Kamal tahu tentang perasaan Akim terhadap Tina. Walaupun tidak pernah diceritakan Akim, tetapi dari riak wajahnya sudah dapat dibaca. “Tak apalah. Pilihan bapa Tina adalah terbaik untuknya. Dibandingkan dengan aku yang tak seberapa ni. Apalah sangat. Lagipun aku sakit. Tak mampu nak bahagiakan Tina,” jawab Akim sambil merenung ke langit. Seolah-olah berserah dengan takdirnya. Akim hanya terdiam. “Hah, satu lagi!!! Hasil tulisan kau yang sekotak tu. Bila la baru kau nak beritahu keluarga kau yang kau sebenarnya minat nak jadi penulis. Bukannya doktor. Ishh, tak faham betul aku!!! Luah Kamal tanda tidak puas hati. Yang telah lama dipendamnya. Tiba-tiba Akim bersuara,“Oh, baru aku teringat!! Aku ada temujanji dengan doktor hari ni. Terakhir sebelum pulang ke Malaysia.” Akim baru teringat pasal temujanjuinya itu. “Aku pergi dulu,” kata Akim sambil mencapai kunci basikal dan keluar meninggalkan Kamal seorang diri di situ. “Nak lari dari aku la tu. Baru je cakap sikit, dah merajuk,” getus Kamal. Namun, petang itu Akim tidak pernah sampai ke hospital. Doktor yang merawat Akim mula berasa hairan. Akim tidak pernah lagi lambat sebelum ini. Dua jam menanti tetapi Akim masih belum tiba. Menambahkan lagi kerisauannya. Tiba-tiba bunyi siren ambulans mengejutkannya dari lamunan. Akhirnya apa yang paling ditakutkan telah berlaku. Tubuh kaku Akim sedang diusung keluar dari ambulans itu. Sepasukan doktor sedang berhempas-pulas untuk menyelamatkan Akim. Akim dijumpai pengsan di bangsal tempat dia meletakkan basikal oleh tukang kebun kolejnya. Keadaan Akim sangat teruk. Tumornya semakin membesar dan kuat menekan otaknya. Tiada apa lagi yang mampu dilakukan oleh doktor. Kedegilan Akim untuk tetap merealisasikan impian ibunya telah mengorbankan nyawanya sendiri. Akim disahkan meninggal dunia tepat jam 9.43 malam di UK. Jasadnya selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di UK atas kehendak ibunya sendiri. Kamal telah menceritakan segala-galanya kepada Mak Limah tentang cita-cita sebenar Akim. “Saya rasa Akim mahu menghadiahkan ini untuk mak cik,” kata Kamal sambil menyerahkan segulung ijazah kepada Mak Limah. Dibukanya gulungan sijil itu dan tertera nama Akim di situ. Dan di belakang sijil terdapat tulisan, ‘Ijazah untuk mak’. Berderai jatuh air mata Mak Limah. Penuh dengan penyesalan. Kedatangan Aidiladha kali ini benar-benar mengajarnya erti sebenar pengorbanan. Selamat hari Raya Aidiladha…….

5 comments:

  1. wah2, mg c0py mane nih to?
    ke mg pn minat jd penulis pe akim e?
    hoho
    xjupo doh la mg mse convo ekgi klu gni gak

    ReplyDelete